AQUILANI (kiri) meraikan jaringannya bersama Benayoun (tengah) dan Lucas dalam saingan separuh akhir kedua Liga Europa. Liverpool menang 2-1 dan agregat 2-2 tetapi kalah atas peraturan jaringan tempat lawan. Forlan (gambar kecil) jadi pemusnah impian tuan rumah di Anfield, kelmarin.
Reds kalah peraturan gol tempat lawan kepada Atletico, Fulham layak final
LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Rafael Benitez menyuarakan betapa dia perlu melakukan lima pembelian pemain baru sejurus melihat anak buahnya tersisih daripada aksi final Piala Europa, kelmarin.
Juara Eropah lima kali itu menewaskan Atletico Madrid 2-1 di Anfield, awal pagi semalam dalam saingan separuh akhir timbal balik kedua tetapi tersingkir berdasarkan peraturan jaringan di tempat lawan apabila agregat terikat 2-2 selepas waktu tambahan.
Benitez enggan memberi alasan selepas kerapuhan pertahanan membolehkan bekas penyerang Manchester United, Diego Forlan yang turut menggegar dalam perlawanan pertama, meledakkan sepakan pemusnah ketika tambahan masa.
Apapun, jaringan Yossi Benayoun pada awal masa tambahan tampak seolah-olah sudah membuka ruang buat Liverpool menempah tiket dalam saingan final di Hamburg pada 12 Mei ini, selepas Alberto Aquilani memecah kebuntuan pada penghujung babak pertama.
Fulham mencipta bangga buat mengibar bendera England di pentas Eropah apabila layak ke final selepas menewaskan Hamburg 2-1 dalam satu lagi saingan peringkat sama.
Benitez akui skuadnya perlu diperkuatkan selepas melalui empat musim tanpa sebarang piala dengan ujian getir menggamit mereka menentang Chelsea dalam perlawanan liga, esok.
“Musim ini tidak begitu bagus. Memang jelas kami menghadapi masalah. Kami ada dua lagi perlawanan dan perlu cuba sebaik mungkin,” kata pengurus Liverpool itu dengan nada kecewa.
“Kami mempunyai dua perlawanan lagi dan perlu cuba sebaik mungkin dalam perlawanan itu.
“Kami berdepan banyak masalah, terlalu banyak kecederaan. Sejauh mana perlu berbelanja musim panas ini? Mungkin kami perlukan tiga, empat atau lima pemain.”
Benitez yang dikaitkan dengan Juventus, sekali lagi mengelak persoalan mengenai masa depannya di Anfield.
Semakin dekat menghampiri genap enam tahun sejak mengambil alih tugas di Merseyside, warga Sepanyol itu berkata: “Adakah saya sedang merancang sesuatu untuk masa depan? Masa depan ialah dengan Chelsea, Ahad ini (esok). Selepas itu dengan Hull pula pada hari terakhir musim ini. Saya tidak tahu apa akan berlaku musim panas ini.”
KEPUTUSAN Separuh akhir kedua
Fulham 2 Hamburg 1
( Fulham layak agregat 2-1)
Liverpool 2 Atletico Madrid 1
(Agregat 2-2; Atletico layak peraturan gol
gelanggang lawan)
Final
Fulham mln Atletico Madrid
(Hamburg, 12 Mei)